Thursday, March 17, 2022

Kisah Awang

Awang adalah salah seorang anak urang ulu yang tinggal di asrama sekolah. Awang budak baik. Setiap kali musim buah-buahan, banyak buah yang dibawa awang masuk ke asrama. Kadang-kadang seguni, kadang-kadang 2 guni. Bayangkan usaha awang untuk membawa guni tersebut yang berisi buah-buahan tempatan masuk ke asrama dari kampung. Bermacam jenis buah ada dalam guni awang. Daripada durian, rambutan, manggis, salak dan banyak lagi.Rakan-rakan satu dorm dengan awang pasti akan gembira pada hari tersebut. Dapat makan buah-buahan percuma dari awang. awang mungkin anak vip di kampung mereka.  

Satu malam, awang kantoi. Aku sendiri tidak percaya awang melakukan perkara itu. Gaya awang bukan orang susah. Awang tidak pernah bermuka sedih Awang memang jenis happy-go-lucky. Situasi ini amat memeningkan kepala aku untuk menerima bahawa awang mencuri.

Aku tidak tahu macam mana awang kantoi atau disabitkan dengan kesalahan tersebut. Awang didapati mencuri duit RM20 milik seseorang. Justeru awang dihukum. Selepas lampu asrama ditutup. Awang dipakaikan tuala, tubuh tidak berbaju dan dibawa mandi. Selepas mandi, awang diminta berdiri di atas kerusi yang diletak di bawah kipas. Dan awang berdiri disitu hingga 4 pagi!

Kisah ini hanya tauladan. Mungkin awang bersalah dan mungkin awang tidak bersalah. Mungkin penghukumnya bersalah dan mungkin penegak hukum itu tidak bersalah. Mungkin penuduh yang bersalah mungkin juga penuduh tidak bersalah. Sesiapa pun tidak harus membuat salah walaupun sebesar zarah!

Kisah ini adalah kisah benar yang di fiksyenkan dengan tambahan bagi menyedapkan cerita.:D


Saturday, March 12, 2022

Pernah Satu April Fool

Aku percaya satu waktu dulu adalah zaman yang penuh kebidaahan. Pernah suatu waktu, aku tidak ingat ketika tingkatan berapa. Tapi aku percaya kejadian ini berlaku ketika aku tingkatan 1. Kenapa? Sebab ketika di tingkatan 2 ada perkara lain yang aku lebih takutkan dan kehidupan seperti tiada keceriaan. Aku ceritakan perkara ini pada waktu yang lain. 

Pada tahun tersebut, sketsa April Fool saban hari dibualkan oleh pelajar-pelajar senior. Dengan perbuatan-perbuatan khianat yang bagi mereka melucukan diceritakan, diperingatkan saban hari. Semakin hampir dengan tarikh berkenaan, semakin banyak kisah-kisah yang diwatakkan lucu diceritakan.

Pada hari kejadian, selepas solat isyak di surau. Beberapa agenda yang menjurus ke April Fool telah mula menunjukkan aksinya. Keadaan asrama hiruk pikuk dengan gelak ketawa. Yang lemah, tidak mampu menahan dirilah yang selalu menerima dan menjadi bahan April Fool. Tapi malam masih awal belum pun Jam 12 Malam, waktu tepat untuk April Fool.

Sebagai pelajar tingkatan 1 yang serba tak tahu, aku merasakan sudah pasti akan menjadi bahan lawak malam itu. Justeru, dengan seorang kawan, kami berjalan ke bangunan akademik dengan alasan study dan lari dari hiruk pikuk malam 1 April. 

Selepas merayau-rayau di dalam kawasan/bangunan sekolah kami temui kotak gimnastik macam gambar bawah tu. Kami masuk ke dalam dan tido sehingga 2 pagi!



Tuesday, March 01, 2022

Naik Kelas Menengah

 Peralihan ke sekolah menengah bukan suatu perkara yang besar di dalam jiwa seorang budak lelaki yang berusia 12 tahun. Mungkin ya kepada orang orang lain yang sebaya yang akil baligh terlebih dahulu. Tidak pada aku yang masih belum mimpi basah. 

Ketika itu hanya 2 sekolah yang berprestij yang menjadi pilihan: MRSM dan Sekolah Sains. Selain dari kriteria prestij, aku tidak pasti apakah ciri-ciri lain yang menjadi ukuran untuk  memasang matlamat memilih sekolah tersebut. Tetapi aku dari awal sudah tersingki dan hasrat untuk memilih pun sudah boleh diketepikan.

Pilihan yang seterusnya ialah sekolah berasrama harian. Ketika itu ada dua sekolah yang menjadi sebutan, iaitu sekolah ibrahim fikri (SIF) dan sekolah agama. Sekolah agama memang bukan impian aku, kerana aku tidak cukup baik untuk masuk sekolah agama. Tentang SIF, sebenarnya banyak yang aku tidak tahu tentang kelebihan sekolah ini. Apabila ditanya kawan-kawan yang memiih sekolah ini, jawapan yang aku simpulkan ialah berkait dengan lokasi sekolah yang dikatakan berada di kawasan bandar. Tapi semua itu tidak menarik minat aku.

Tetapi persoalan utama yang masih belum terjawab ialah kenapa harus memilih sekolah diluar dari kawasan aku sendiri, sedangkan kawasan aku ini sudah mempunyai sekolah yang tersegam indah di tepi jalan utama. Beberapa kilometer dari kampung aku. Dan sekolah ini sebenarnya automatik menjadi pilihan ke tiga. Ya sekolah ini sangat terkenal ketika itu. Cikgu-cikgu sedaya mungkin untuk tidak dihantar kesini. Bahkan ajakan guru bertumbuk adalah perkara lumrah ketika itu. Itulah cerita-cerita yang didengari dan di bawa oleh mulut ke mulut.

Ironinya, itulah sekolah menengah pertama yang aku masuki. Dan cerita-cerita yang berlegar-legar hanyalah cerita-cerita orang-orang yang kalah perang yang tidak mahu dilupakan oleh zaman.

 

Barisan cikgu-cikgu yang mengajar masa sekolah rendah! Semoga mereka semua dalam rohmat Allah.


 

 

 

 

 

Thursday, February 24, 2022

Suatu yang pernah

 Sememangnya sekolah menengan tengku intan zaharah(SMTIZ) banyak mencorakkan aku pada hari ini. Suatu yang pernah ialah aku dibuli, musim april fool menjadi-jadi, hantu-hantu yang juga bermusim. Ragam tinggal di asrama pasti akan bertemu kumpulan putih dan kumpulan hitam dikalangan penghuni sendiri.Anasir luar juga cuba menduga, ilmu hitam bertelanjang bulat.

Asrama harian tidak seperti asrama penuh, setiap jumaat kami berjalan kaki berjumaat lebih kurang 2 kilometer, tiada bas disediakan! Bahkan boleh memilih untuk ke masjid yang lebih jauh. Bagusnya asrama harian boleh keluar masuk sesuka hati. Pernah aku terpaksa menyamar menjadi Shamsudin Ali kerana akal waras ingin menyembunyikan identiti diri.

Bahkan ketika pulang ke kampung juga tidak dijemput seperti mereka yang berada, Berjalan kaki sebelum subuh dalam kumpulan besar kerana akan melalui jalan yang sama. Peristiwa jatuh longkang sedalam 7 kaki, Pasti ketawa teringat peristiwa itu.

Walau dibuli oleh seorang senior, ada juga yang istimewa dengan senior-senior lain. Bersama-sama mentelaah dengan lampu koridor, aku untuk SRP mereka untuk STPM. Dan lebih manis bertemu mereka di UPM menyambung ke peringkat yang lebih tinggi!

Teringat juga rakan-rakan dari darat dengan budaya yang berbeza. Budaya dan tingkah laku yang kelihatan pelik pada mata aku. Perangai yang berbeza-beza, ada yang tidak mahu mandi, ada yang tidak pernah basuh baju sendiri. Banyak sangat ragamnya. Bahkan rakan-rakan dari negeri borneo juga membawa resam yang berbeza. Di mana mereka sekarang?

Inilah suatu yang pernah! 

  

Sunday, February 20, 2022

Pernah Di Satu Malam Minggu

Suatu waktu dulu, ketika menginap di asrama harian SMTIZ, malam minggu (aku tak ingat malam jumaat atau sabtu) kami dibenarkan untuk keluar dari kawasan sekolah.

Sebuah kedai di hadapan sekolah menjadi tumpuan ramai ketika itu. Aku rasa itu sahaja kedai yang tercapai oleh derap kaki. Yang lain pun ada, tapi boleh menyebabkan seliuh dan haus pada tekak dan tapak kasut.

Menu utama dikedai itu ialah meggi. Ya, meggi yang sama rasanya dengan yang  kita makan pada hari ini. Tiada yang berubah, rasanya, bungkusan kuning  dan  pintalan meenya. Kalau ada yang berubah mungkin hiasan pada plastik yang diubah mengikut kehendak selera generasi sekarang.

Meggi dikedai itu ada tiga darjat. Darjat terendah ialah Meggi 0. Harganya ketika itu 50sen semangkuk. Walau darjat terendah, tapi ramai yang memilih meggi ini. Mungkin sekadar untuk mengisi ruang yang ada dan tidak dilihat berpoya-poya dikedai secara percuma sambil menonton TV yang menayangkan cerita dari video dek. Aku tak ingat darjat-darjat seterusnya. Tapi aku selalu makan Meggi dengan telo dan sawi. Sudah tentu ini adalah darjat meggi yang tertinggi. 

Bagi aku makan di kedai ini pada malam minggu bukan sahaja untuk mencari kelainan, tetapi ia juga adalah motivasi. Tuan kedai selalu bertanya aku di tingkatan berapa. Setiap kali aku datang, itulah soalan yang akan ditanyakan. Mungkin itu antara set soalan yang dia sudah sediakan untuk pelanggan kedai. Apabila aku menyatakan usia ku, lantas dia berkata anaknya adalah sebaya dengan ku. Dan terus menyambung anak kini bersekolah di MRSM. Itulah motivasi kepada aku sebenarnya. Setiap malam minggu, keinginan ke sekolah yang sama sentiasa di perbaharui oleh cerita si pembuat meggi! 

Gambar meggi di atas aku ambil ketika makan di Sabasun tengahari tadi (20022022), melihat gambar ini aku teringat tentang meggi yang aku makan suatu ketika dahulu.Meggi darjat kayangan.

Bahasa Apa

 Bahasa pengarurcaraan yang pertama aku belajar ialah gwbasic dekat sekolah. Tapi ketika itu komputer adalah benda baru yang mencurigakan. M...