Nenek,
Maafkan cucu nenek, jika balik raya tahun ini membuatkan nenek sedih dan hati nenek bengkak! Tahun depan cucu akan balik raya lagi jika panjang umur. Tahun depan cucu akan ganti balik pelita buluh nenek yang cucu bakar. Bukan niat cucu untuk bakar pelita itu, tetapi malam itu malam raya, apakah erti malam raya pada budak seperti cucu jika tiada mercun dan dentuman (memang tiada pun), tetapi bermain api dan pelita sudah cukup mengujakan! Tanpa sedar minyak tanah habis dan api mesti terus dinyalakan. Bukan sengaja cucu nenek membuat unggun api, semuanya untuk mencerahkan rumah nenek. Dan kesemua 12 batang pelita buluh nenek, cucu lempar ke dalam unggun api tersebut supaya nyalanya lebih besar. Lagi pun malam itu malam raya, tahun depan boleh beli pelita buluh baru. Nanti cucu ganti balik 2 kali ganda.
Nenek,
Maafkan cucu nenek jika cucu sudah melukakan hati nenek dan buatkan nenek sedih. Bukan sengaja cucu minum air penawar nenek! Malam itu, lepas bermain dengan ungun api, tubuh cucu sangat panas, tekak cucu sangat kering dan dahaga. Hanya satu keinginan ketika itu, iaitu minum air batu dengan sepenuh perasaan. Takkan nenek tak pernah rasa begitu. Lalu cucu mencari sisa-sisa air batu baki berbuka tadi! Tapi, malam itu adalah malam raya, ramai orang berbuka rumah nenek, dan air batu sebungkus itu habis dengan sekelip mata. Kalau di rumah cucu, ibu selalu letak air mineral dalam peti sejuk, cucu hanya perlu buka peti sejuk dan ambil botol mineral water itu dan dan minum. Kebetulan, bila cucu buka peti sejuk nenek, cucu nampak sebotol besar air mineral siap dengantanda harganya lagi RM2.30. Tanpa membuang masa, cucu pun minum sepuas hati macam minum kat rumah, tinggal lah sedikit untuk orang lain itulah pesan ibu. sebab itu cucu tinggalkan sedikit dalam botol tu. Dan cucu tidak tahu air mineral itu lah penawar nenek. Cucu ingat penawar nenek macam tablet yang ibu selalu makan, rupanya bukan!
Nenek,
Cucu mintak ampun atas salah laku cucu. Tahun depan umur cucu dan tua sedikit, mungkin dah tak buat bende-bende tu semua. Nanti cucu belikan pelita buluh yang baru, cucu tolong pacakkan sekali, dan cucu labelkan "sila bakar sumbu aje" mana tau ada budak-budak lain yang cuba meniru gaya cucu. Bukan ke DNA yang sama mengalir dalam tubuh mereka!
komen :
1. erm.. mungkin lahir lagi cucu baru yang berjiwa agresif, maner tahu!