Thursday, March 19, 2009

Cerita Tentang Pesta

Masa aku kecik dulu-dulu, belum lagi ada pemimpin berkepala otak geliga yang mempunyai idea untuk mengadakan "pasar malam" atau "pasar minggu".  Pendek kata, masa tu belum lagi ada apa yang di gelar "pasar malam' atau "pasar minggu"  seperti sekarang ini.

Seingat aku ada 2 event yang menjadi penghibur/hiburan kepada rakyat marhaen kampung aku iaitu wayang gambar  dan Hari Gaji.

Selalunya kat kampung aku ini waktu dulu ada wayang gambar bergerak. Satu dari RTM dan satu lagi dari AJU (Agen Jual Ubat). Dua-dua organisasi datang bawak gambar dengan satu hajat iaitu untuk menyampaikan maklumat masing-masing. AJU memang sudah pasti untuk mempromosikan ubat-ubat mereka. Manakala RTM pula untuk menyebarkan maklumat terkini seperti kempen daftar mengundi, kempen derma darah dan macam-macam kempen lagi lah. Aktiviti wayang gambar bermula dengan hebahan keliling kampung 3 hari sebelum malam event tersebut. Kemudian pada hari event, sekali lagi mereka membuat hebahan jemputan terakhir kepada orang-orang kampung.  Selepas itu, mereka akan ke padang sekolah (padang sekolah selalu menjadi mangsa dalam kes-kes begini. Tak tau lah berapa AJU bayar kepada pihak sekolah, yang RTM tu memang lah free)  untuk memasang layar putih yang digantung pada 2 tiang macam pasang net badminton tu, tapi ada 4 tali yang ditarik untuk memegang tiang agar tidak terbalik. 

So malam tersebut, selepas maghrib, orang kampung akan datang berduyun-duyun ke padang sekolah.  Ada yang bawak tikar mengkuang yang besar, ada yang bawak kertas aje. Ada yang datang sorang, berdua dan ada yang datang satu keluarga siap dengan makanan macam orang nak piknik. Aku pulak mesti datang bawak batu je, carik port yang bagus sikit, duduk lah atas selipar. Senang citer!! Selalunya aku memilih untuk duduk di bahagian projektor, kalau duduk arah lawan projektor jawabnya ada lah sedikit kelainan. Antaranya kepelikkannya ialah sarikata yang terbalik!!

Mak aku memang tak suka tengok wayang. Bapak aku pulak kekadang tu adalah joint jugak kalau wayang gambar RTM, bukan nak tengok cerita tapi nak dengo pengumuman yang dibuat. Katanya lah. Tapi aku tak kisah, kalau aku nak pergi, tetap aku pergi walau sorang diri. 

Selalunya penuh lah padang sekolah aku ini. Maklumlah, wayang gambar kan!! Cerita yang ditayang pulak cerita baru zaman tersebutlah dan amat mengikut trend semasa. Tapi ada jugak yang bawak citer lama, tapi citer lama yang meletuplah. Seingat aku, kalau citer Sangam tu, dah banyak kali di tayangkan, tapi penuh jugak padang sekolah nie. 

Setiap kali abis satu-satu reel filem, sementara juru projektor menyambung reel yang baru, peluang tersebut di isi dengan dakyah penayang filem. RTM selalunya tidak menggunakan masa yang lama. Tetapi, AJU selalu mengambil masa yang panjang untuk menukar reel. Dan AJU pulak tidak menunggu habis reel untuk membuat hebahan. Kadang-kadang sedang syok climate cerita, AJU akan berhenti sekejap untuk laluan penaja. Nak tak nak, orang kampung aku terpaksa menahan telinga mendengar jualan ubat kerana nak tengok ke penamat. Bulat-bulat kena tipu. Tapi nak wat camner, itu jer peluang yang ada lagi pun sedang syokk kan!! Tunggu je lah. 

Kadang-kadang filem-filem ini habis hampir pukul 11 malam. Aku yang pergi sorang diri follow lah bontot sapa-sapa yang akan balik melalui depan rumah aku. 

Esokkannya, bila pergi sekolah, macam-macam ada kat padang sekolah, makanan, minuman, tikar buruk, kertas surat khabar. Walaupun padang sekolah gelap sejati tak de plak dengo citer orang jumpa kondom!! Kalau nasib aku tak baik, kalau hari tersebut ada pendidikan jasmani terpaksalah bersenam dengan mengutip sampah sarap yang ditinggalkan. Tapi tak ada dendam pun dalam hati. :D

Satu lagi liburan ialah hari terima gaji. Masa dulu, hasil kelapa sawit secara otomatik akan di dijual kepada pihak feld. Felda pulak akan bayar duit jualan kelapa sawit secara berkala sebulan sekali.  Selalunya hujung bulan selepas 20 hb dipilih sebagai hari bayar gaji. 

Pada hari tersebut, ramailah saudagar-saudagar berkunjung ke kampung aku. Aku tak tau lah macam mana diaorang dapat berita. Sedangkan masa tu, nak kata internet, telefon awam pun tak ada kat kampung aku tu. 

Tapi tanda-tanda awal nak dapat gaji ialah ada orang kampung aku semelih lembu dan jual kat pasar. Hari dapat gaji jer dapat makan daging lembu!!

So pada hari tersebut, saudagar-saudagar nie datang berduyun-duyun dengan barang dagangan masing-masing. Ada yang jual buah-buahan, ada yang jual baju, ada datang melelong barang-barang, 4 barang 10 ringgit. Ada jual apam balik, keropok dan mee goreng. Ada jugak yang datang jual kaset-kaset. Pendekkata penuh lah pasar kampung aku dengan peniaga-peniaga luar yang menjual barang yang luar dari biasa. Pada hari itu, berdaunglah bunyi nyanyian di mainkan dari arah pasar. Ramailah orang kampung keluar menikmati keseronokkkan tersebut, walau pun tak beli barang, tapi berada dalam keramaian tersebut amat mengujakan.

Aku pun turut ke sana dan ke mari walau pun dalam poket habuk pun tiada!!! 








No comments:

Post a Comment

Pasang Pelayar

 1. Kalau ikut kamus dewan, istilah install diertikankepada pasang, iaitu memasang perkakasan dan perisian ke dalam komputer. jadi dalam kes...