Thursday, July 16, 2009

Tidur Di Masjid

Aku tidak ingat apa yang berlaku sebenarnya pada hari itu. Tetapi yang aku pasti, aku tiba di bandar kelahiran ku kira-kira pada pukul 8.30 malam setelah bertolak dari Kuantan. Sampai pada pukul 8.30 malam pasti menimbulkan kebimbangan, bandar ini seperti sudah menutup pintunya. Tiada lagi pengangkutan awam untuk rakyat marhaen, yang tinggal hanyalah pemandu teksi yang akan meng'ngap' penumpangnya. Begitulah kiraan otak kiri ku.

Aku tiada tempat lain untuk dituju. Lantas, teringat kepada seorang saudara ( dekat tapi jauh ). Sampai di restoran yang diwarisi dari adik iparnya, aku menyatakan masalah yang sedang aku hadapi. Kalau-kalau aku boleh hinggap di situ untuk semalam. Aku nampak banyak ruang-ruang kosong yang boleh aku hinggap dan aku tidak inginkan tempat yang mewah, hanya sekadar tempat untuk aku menunggu hari esok!

Jawapan amat menduakacitakan, kalau saudara ini tidak boleh membantu, siapa lagi yang boleh aku harap? Aku berlalu dari situ dengan kecewa dan sedikit sumpah seranah orang yang kecewa.

Melangkah longlai akhirnya aku sampai ke Masjid Putih. Aku lebih suka memanggil masjid ini dengan panggilan Masjid Musafir kerana satu waktu dulu, di masjid inilah musafir yang mahu naik atau turun dari bas akan singgah.

Kebetulan, masjid masih terang, dan upacara solat isyak sedang berlangsung. Aku yang keheranan memikirkan solat isyak yang sebegitu lewat, dengan pantas turut berjemaah. Usai solat, aku dapat tahu ada ceramah agama yang panjang berlangsung sebentar tadi. justeru itu, isyak dilewatkan.

Memilih satu sudut, aku menyandarkan badan, aku hampir terlelap. Tiba-tiba seorang ahli masjid datang, tok siak agaknya, memberitahu masjid akan ditutup. Aku memberitahu masalah ku. Katanya, tido di luar sahaja. Aku kembali memungut beg, dan bergegas keluar. Terjumpa satu pintu masuk yang sesuai dan landing disitu. Permulaannya agak seronok sekali dengan tempat itu. Ketika mata mahu terlelap, lampu dipadamkan. Keadaan gelap gelita. Tok siak sudah pulang agaknya.

Lembaga hitam pun datang dalam kegelapan, berbunyi amat nyaring, mengganggu tido ku. Habislah darahku malam itu. Berkerubung dengan kain pelikat, ruang untuk digigit disempitkan. Assalamualaikum, terdengar suara memberi salam. Aku merasa lega, ada darah lain yang boleh dikongsikan!

***
Nota :

Beberapa bulan selepas peristiwa ini, restoran itu ditutup kerana pengurusan kewangan yang tidak cekap, duit kena songlap dan hutang keliling pinggang!

Tempat aku tido ialah pintu masuk sebelah kiri masjid tersebut, juga laluan utama untuk ke perkuburan raja-raja terengganu, yang hanya berjarak dalam 3 meter dari tangga tempat aku tido tu.


3 comments:

Pasang Pelayar

 1. Kalau ikut kamus dewan, istilah install diertikankepada pasang, iaitu memasang perkakasan dan perisian ke dalam komputer. jadi dalam kes...